MAS ERMIEYATI SAMSUDIN
MAS ERMIEYATI SAMSUDIN

Menurut Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, beliau berpandangan isu tersebut tidak sepatutnya timbul memandangkan Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan Islam agama rasmi selain memperuntukkan kebebasan untuk rakyat negara ini mengamalkan agama masing-masing.

"Perkara itu juga tidak adil bagi golongan wanita muda (yang rata-rata bertudung) dan sedang mencari pekerjaan," katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan Puteri UMNO Cawangan-cawangan Negeri Pahang, di sini hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) yang mempertahankan tindakan pengusaha hotel yang melarang pekerja wanita beragama Islam bertudung bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan.

Langkah itu dikatakan sebahagian daripada polisi antarabangsa dan bukannya diskriminasi.

Baru-baru ini Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia mendedahkan ramai kakitangan hotel mengadu mengenai diskriminasi terhadap pekerja wanita Islam dengan diarahkan menanggalkan tudung mereka. - BERNAMA