Beliau berkata, tindakan itu bertentangan dengan Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW).

"Saya amat terkejut dengan berita ini. Ini (pemakaian tudung) adalah hak wanita. Isu ini tidak pernah timbul sebelum ini. Kenapa ia menjadi isu di negara kita sekarang?," katanya selepas merasmikan Forum Peguam Bagi Kanak-Kanak: Hak Mereka Untuk Diwakili, di sini hari ini.

Baru-baru ini, Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia mendedahkan ramai kakitangan hotel mengadu mengenai diskriminasi terhadap pekerja wanita Islam di bahagian kaunter yang diarahkan menanggalkan tudung mereka.

Pengerusi Persatuan Hotel-Hotel Malaysia, Samual Cheah Swee Hee pula berkata, larangan itu diamalkan rangkaian hotel antarabangsa yang menggunakan prosedur operasi standard yang sama bagi pemakaian uniform di semua rangkaian hotel mereka di seluruh dunia.

Rohani turut menyambut baik dan menghargai maklum balas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang menyifatkan arahan tersebut sebagai satu perbuatan diskriminasi dan 'kurang ajar'.

Sementara itu, Rohani berkata, kanak-kanak yang terlibat dalam kes berkaitan undang-undang keluarga harus diwakili peguam khas dan bebas agar kebajikan mereka terpelihara dan suara mereka dapat didengar dan diberi perhatian sewajarnya.

Beliau berkata, dalam kes penceraian di mahkamah, suami dan isteri mempunyai peguam-peguam bagi memperjuangkan hak dan kebajikan masing-masing namun bagi anak-anak, mereka tidak mempunyai peguam untuk menyuarakan pendapat dan hak mereka.

Beliau menambah, kementeriannya menganjurkan forum hari ini dengan kerjasama Persatuan Rakan Peguam bagi membincangkan kepentingan peguam yang mewakili kanak-kanak yang terlibat dalam kes undang-undang keluarga selain mengupas mekanisme yang sesuai bagi memastikan hak kanak-kanak sentiasa terbela.

Menurutnya, New Zealand merupakan antara negara yang kanak-kanak diwakili peguam agar suara mereka didengari. - BERNAMA