Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur, Samsudin Mohamad Fauzi berkata, justifikasi terhadap cadangan itu terlalu lemah dan tidak dapat membawa kebaikan kepada golongan berpendapatan rendah.

“Dalam situasi sekarang, de­ngan harga minyak mahal serta jarak yang pendek pun dikenakan tol, sudah pasti pengguna memilih motosikal kapcai untuk mereka bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.

“Sekiranya mereka mengatakan kemudahan pengangkutan awam sudah murah, fikirkan juga bolehkah pengangkutan itu membawa pengguna ke semua kawasan yang mereka ingin pergi dalam masa yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, cadangan itu merupakan salah satu langkah bagi mengurangkan kadar pelepasan karbon dalam bandar.

Beliau memberitahu, pe­laksanaan larangan tersebut masih belum diputuskan memandangkan sebahagian pengguna motosikal kecil terdiri daripada golongan berpendapatan rendah.

Dalam pada itu, Samsudin turut mencadangkan supaya diadakan laluan khas untuk pengguna mo­tosikal dalam kawasan bandar bagi mengelakkan kejadian jenayah seperti ragut daripada berlaku.

“Dengan adanya laluan khas ini, pihak berkuasa dapat memantau penunggang yang berada di luar laluan itu di samping mengurangkan kemalangan melibatkan motosikal,” katanya.