AZMAN JAAFAR 

Ketua Pemuda UM­NO Bahagian Pasir Gudang, Azman Jaafar (gambar) berkata, la­poran tersebut yang disiarkan sempena la­watan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke negara itu ketika ini amat besar pengaruh dan signifikannya.

“Media AS memainkan peranan dalam menyiarkan dengan profesional betapa Malaysia adalah sebuah negara yang boleh diyakini untuk pelaburan pada masa hadapan.

“Apa yang paling jelas, ini menunjukkan Malaysia bukanlah sebuah negara yang gagal mahupun bankrap seperti yang dicanangkan Tun Dr. Mahathir Mohamad, Lim Guan Eng dan pemimpin pembangkang lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Perdana Menteri berada di Washington D.C selama tiga hari bermula Isnin lalu untuk bertemu empat mata dengan Presiden AS, Donald Trump dan antara perkara utama yang dibincangkan adalah kekejaman berterusan terhadap etnik Rohingya di Myanmar.

Azman berkata, layanan kelas pertama diberikan Trump kepada Najib menunjukkan betapa melesetnya tuduhan Dr. Mahathir dan pemimpin pembangkang lain bahawa imej Perdana Menteri begitu buruk di mata dunia.

“Kepada mereka yang memahami ilmu bahasa gerak badan, ternyata sambutan dan layanan Presiden Trump terhadap Datuk Seri Najib menunjukkan betapa mesra dan yakinnya seorang pemimpin dunia terhadap Perdana Menteri.

“Perlakuan Trump amat jelas menunjukkan kemesraan antara mereka berdua, bukan dibuat-buat, malah ikhlas, penuh keyakinan dan mengharap,” katanya.

Dalam masa sama, katanya, media Singapura turut menyiarkan laporan positif mengenai lawatan Perdana Menteri ke AS, malah menyatakan Najib telah mendahului Perdana Menteri Singapura, Lee Hsein Loong untuk bertemu dengan Trump.

“Laporan media Singapura juga menyiarkan ucapan Trump tentang peranan besar Datuk Seri Najib dan kerajaan Malaysia dalam mengekang dan melawan keganasan di Asia Tenggara,” katanya.