Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Muhammad Harris Idaham Abdul Rashid berkata, laporan penuh itu akan diserahkan kepada menteri sejurus lawatan ke semua kilang selesai pada Khamis ini.

Katanya, laporan tersebut akan merangkumi pelbagai aspek antaranya kaedah pemprosesan serta kebersihan kilang termasuk import dan eksport plastik tersebut.

"Pada masa ini, kita telah memeriksa 11 kilang bermula Jumaat lalu dan kesemua kilang yang diperiksa berada dalam keadaan positif antaranya prihatin terhadap alam sekitar di samping sistem air serta penyaluran asap juga baik.

"Kesemua laporan dan penilaian akan dilakukan oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) sebelum diserahkan kepada Menteri, Zuraida Kamaruddin untuk tindakan lanjut,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di kilang pengimport plastik, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah JPSPN, Ir. Muhamad Zaini Hasnan.

Dalam pada itu, mengulas lanjut, Muhammad Harris Idaham berkata, pembaharuan lesen permit lulus (AP) untuk mengimport sisa plastik hanya akan diberikan kepada syarikat sedia ada yang mengikuti 18 syarat ditetapkan kementerian.

"Malah, syarikat baharu yang ingin membuat permohonan juga akan diberikan lesen jika menepati syarat diberikan kementerian.

"Antara syarat penting ialah plastik yang dikitar semula mestilah berada dalam keadaan bersih dan menepati kualiti industri serta mesti mengitar semula sekurang-kurangnya 30 peratus produk tempatan supaya barangan tempatan tidak terbuang begitu sahaja," ujarnya. - UTUSAN ONLINE