Pandikar Amin Mulia

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, laporan berkenaan hanya dibentangkan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) kepada Dewan Rakyat, namun tidak boleh didedahkan kepada umum.

“Saya diberitahu oleh Ketua Audit Negara bahawa laporan itu adalah laporan khas dibuat untuk PAC dalam soal penyiasatan hal 1MDB dan menurut beliau, dokumen itu diklasifikasi sebagai dokumen rahsia dan sehingga setakat ini dokumen itu belum lagi boleh ‘dibuka’.

“Oleh itu, saya tidak dibenarkan mendedahkan perkara-perkara yang masih rahsia dan tidak boleh dibentangkan di dalam Dewan Rakyat. Kalau saya benarkan, saya melanggar Akta Rahsia Rasmi 1972 di bawah Akta 88,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan R. Sivarasa (PKR-Subang) berhubung perbahasan berkenaan laporan PAC terhadap 1MDB yang dikeluarkan di Dewan Rakyat hari ini.

PAC hari ini membentangkan Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB di Dewan Rakyat.