P. Kamalanathan

Beliau berkata, Mente­ri Pendidikan, Datuk Seri Mah­dzir Khalid telah diberi­kan penerangan secara spe­sifik mengenai dapatan kajian tersebut oleh Bahagian Buku Teks yang bertanggungjawab menyediakan la­poran itu pada mesyuarat pasca Kabinet baru-baru ini.

Menurutnya, hasil kajian bebanan buku yang dibawa oleh murid Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) mendapati ada kebenaran beg murid adalah berat.

“Kajian juga mencadangkan bagaimana sekolah perlu mengikuti standard antarabangsa yang menetapkan tahap tertentu beban beg yang sepatutnya bagi seorang murid seperti berdasarkan umur dan berat badan murid tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian Karnival Sukan Antara Universiti di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, hari ini.

Kamalanathan berkata, cadangan lain adalah murid hanya perlu membawa buku mengikut jadual pembelajaran harian, manakala buku latihan atau bahan pembelajaran lain ti­dak perlu dibawa setiap hari ke sekolah.

Menurutnya, beberapa ca­­dangan yang dikemukakan itu boleh dilaksanakan se­gera tetapi kementerian te­tap tegas dengan pernyata­an bahawa beg sekolah bagi murid tahun satu, dua dan tiga seharusnya ringan.

“Semua guru besar telah dimaklumkan bahawa murid sekolah rendah hanya perlu membawa buku-buku mengikut jadual harian dan guru-guru diingatkan supaya membantu murid-murid me­ringankan beban beg yang dibawa ke sekolah,” katanya.

Isu beg berat mendapat perhatian khusus Mahdzir yang mengarahkan satu kajian segera dilakukan kementerian bagi membolehkan masalah yang menjadi rungutan ibu bapa itu ditangani de­ngan lebih berkesan. – BERNAMA