Shahidan Kassim

Kad itu juga boleh dikeluarkan oleh pihak UNHCR terhadap tahanan Imigresen di depot-depot jabatan itu jika perlu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim sehubungan itu menggesa tindakan tegas diambil bagi membendung keadaan itu yang menunjukkan betapa mudahnya warga asing untuk tinggal di negara ini.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan bilangan terkini warga asing yang memegang kad UNHCR.

Katanya, satu laporan lengkap mengenai pengeluaran kad itu akan dibentangkan ke Kabinet tidak lama lagi.

“Kita dapati ada pihak luar yang berkuasa mengeluarkan satu tanda pengenalan untuk membenarkan rakyat asing tinggal di Malaysia.

“Jika dahulu, pemegang kad ini merupakan suaka politik, kini merebak ke ekonomi dan meliputi seluruh dunia pula, malah ada yang berasal dari Afrika dan Amerika Selatan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa meninjau paras air Empangan Timah Tasoh di sini hari ini.

Tambah Shahidan, seharusnya pengeluaran sesuatu kad UNHCR dirujuk kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang akhirnya berkuasa menentukan kelulusannya.

“Walaupun UNHCR dipilih oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sepatutnya ia tidak diberi kuasa mengeluarkan kad. Ini sesuatu yang malang kerana sikap kita yang kasihan,” katanya.