Menurut kenyataan dikeluarkan Felda, laporan disiarkan tersebut adalah tidak tepat sama sekali malah ini merupakan kali kedua pihaknya membuat pembetulan terhadap laporan portal berkenaan.

“Peneroka yang ditemu bual dari Felda Mayam sebenarnya telah menerima Skim Pinjaman Pembesaran Rumah Peneroka sebanyak RM20,000 pada April 2012 yang tidak dikenakan sebarang faedah kecuali kos pengurusan.

“Pendapatan peneroka tersebut melebihi RM2,000 bagi bulan September 2017 dan bukan kurang dari RM1,000 seperti dilaporkan,” jelas kenyataan itu di sini hari ini.

Tegas kenyataan itu lagi, pene­roka dari Felda Tementi pula yang mengatakan pembayaran diterima tidak menentu sebenarnya telah menerima bayaran secara mingguan.

“Sejak April 2017, Felda telah memperkenalkan dana pusingan RM100 juta untuk tujuan pelaksanaan pembayaran hasil secara mingguan.

“Felda sentiasa bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan warga peneroka.

“Pengumuman Perdana Mente­ri, Datuk Seri Najib Tun Razak tentang enam insentif untuk warga peneroka menjadi bukti usa­ha kerajaan dan Felda dalam me­rangka penyelesaian jangka panjang bagi meringankan beban tanggungan peneroka seperti insentif pembayaran tunai, pelupusan sebahagian hutang serta geran khas tanam semula,” kata kenyataan itu.