S. SUBRAMANIAM

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, untuk mana-mana kes sekali pun ia adalah satu tempoh biasa memandangkan pakar patalogi selalunya memerlukan sedikit masa bagi menyediakan laporan itu dengan terperinci.

Sehubungan itu beliau me­minta orang ramai terutamanya media dan kerajaan asing supaya tidak memberi tekanan yang berterusan kepada polis atau pa­sukan forensik berhubung pembunuhan Jong-nam itu.

“Kita tidak mempunyai sebarang asas atau keperluan untuk se­ngaja melambat-lambatkan kes Jong-nam, lebih-lebih lagi ia melibatkan kes yang menjadi perhatian dunia.

“Beri polis dan pa­sukan forensik kebebasan serta ruang untuk menjalankan tugas sebaik mungkin. Ini kerana, pada akhirnya, mereka yang perlu menjawab kepada semua persoalan yang ditimbulkan pada masa akan datang,” katanya dalam sidang akhbar selepas me­rasmikan Portal Kerjaya dan Bazaar Cancerfly di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini hari ini.

Bagaimanapun se­hingga ke hari ini mayat mangsa masih tidak dituntut dan masih berada di bilik mayat HKL.

Ketika ditanya sama ada Malaysia sedia mengimport pakar perubatan dari luar negara untuk melakukan bedah siasat, Subramaniam berkata, ia bukanlah sesuatu yang baharu atau luar biasa memandangkan Malaysia pernah melakukan kerjasama seumpama itu sebelum ini.

“Sekiranya kita fikir memerlukan bantuan kepakaran atau teknologi asing, kenapa tidak?” ujarnya.

Beliau juga menjangkakan laporan bedah siasat akan dapat di­siap­kan selewat-lewatnya Rabu ini.

Terdahulu ketika berucap, Subramaniam yakin, dengan pelancaran Portal Kerjaya dan Bazaar Cancerfly itu, pesakit-pesakit kanser akan dapat memanfaatkan medium tersebut untuk mempamerkan produk atau perkhidmatan mereka.

“Setakat ini saya difahamkan kira-kira 25 pesakit telah mengambil bahagian dengan mengiklankan produk mereka dalam laman portal itu. Pesakit kanser yang berupaya bekerja semula bukan sahaja dapat menyara keluarga masing-masing tetapi juga dapat meningkatkan tahap keyakinan diri mereka,” ujarnya.