Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, laporan polis Chow Kit 5870/2016 itu te­lah dikemukakan pada 29 November tahun lalu.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, hasil siasatan berkenaan adalah untuk arahan dan penelitian Timbalan Pendakwa Raya.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid tidak mendedahkan hasil siasatan yang telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara itu.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena) di Dewan Rakyat.

Mahfuz ingin me­ngetahui mengenai status siasatan laporan polis yang dibuat oleh Naib Ketua Pemuda UMNO, Se­nator Khairul Azwan Harun yang mendakwa wujud konspirasi melibatkan tiga individu bergelar Tan Sri yang dipercayai mahu menggulingkan Perdana Menteri tahun lalu.

Tiga Tan Sri dimaksudkan itu dipercayai bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz; bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dr. Abu Kassim Mohamed.

Dalam laporan yang dibuat di Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi itu, Khairul Azwan mendakwa, individu terlibat dipercayai terbabit dalam kons­pirasi menggulingkan Najib dan kerajaan Malaysia.