Pengarahnya, Datuk Haris Kasim berkata, aplikasi dikenali sebagai Amar JAIS itu boleh dimuat turun secara percuma menerusi Google Play bagi telefon yang menggunakan sistem operasi Android.

Beliau berkata, aplikasi itu bukan sahaja memudahkan orang ramai membuat aduan bahkan akan membantu JAIS mengambil tindakan pantas dan berkesan dalam mencegah perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam di negeri ini.

Katanya, ia juga sebahagian daripada usaha untuk mendekatkan masyarakat dengan JAIS khususnya Bahagian Pengurusan dan Penguatkuasaan.

“Aplikasi ini dapat membantu JAIS mendapatkan maklumat yang tepat berkenaan kegiatan dan lokasi berlakunya aktiviti yang bertentangan dengan ajaran Islam selain mengelak penyebaran maklumat palsu kerana pengadu dapat dikesan.

“Namun, suka saya ingatkan di sini, pengadu tidak perlu takut untuk membuat aduan kerana mereka dilindungi di bawah Akta Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) dan Akta Perlindungan Saksi 2009 (Akta 696),” katanya dalam sidang akhbar yang turut dihadiri oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAIS, Mohd. Shahzihan Ahmad selepas melancarkan aplikasi tersebut di sini hari ini.

Haris memberitahu, menerusi aplikasi itu juga, semua nombor telefon pegawai masjid dan lokasi masjid di seluruh Selangor boleh diakses melalui sistem kedudukan global (GPS).

“Orang ramai juga boleh me­nyemak senarai penceramah yang mendapat pentauliahan atau kebenaran JAIS untuk berceramah.

“Sehubungan itu, saya minta semua umat Islam memuat naik aplikasi ini di telefon bimbit mereka untuk kemudahan semua,” jelasnya.