Panglima Komando Operasi Angkatan Udara (Koopsau) 1, Marsekal Muda Tentera Nasional Indonesia (TNI), Na­nang Santoso berkata, setakat ini hanya pesawat pengangkut jenis C-130 sahaja dibenarkan mendarat di lapangan terbang terbabit, manakala pesawat besar perlu mendarat dan memindahkan bantuan di Balik Papan sebelum dapat dibawa ke Palu.

Katanya, pihak kerajaan Indonesia akan mengkaji keseluruhan aspek sebelum membuat keputusan membenarkan pesawat pengangkut negara luar mendarat dan menyalurkan bantuan di lapangan terbang berkenaan termasuk pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Setakat ini kita hanya membenarkan pesawat jenis C-130 sahaja mendarat di Lapangan Terbang Al-Jufri.

“Kita akan kaji dahulu ke­adaan terkini di sana (Palu) sebelum memberi kebenaran pesawat besar negara luar mendarat,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Mingguan Malaysia turut difahamkan, setiap pesawat bersaiz kecil dan sederhana hanya dibenar mendarat selama 45 minit di Lapangan Terbang Al-Jufri ekoran situasi sibuk dan padat selepas dijadikan sebagai salah satu pusat penerimaan bantuan kemanusiaan utama.

TUDM turut menghantar pesawat C-130 bagi membantu misi tersebut.

Dalam pada itu, Nanang berkata, Indonesia menyatakan penghargaan terhadap bantuan kemanusiaan yang diberikan Malaysia terhadap mangsa gempa bumi di Sulawesi terutama dalam penyediaan kemudahan pesawat.

Menurutnya, penghargaan itu juga turut diberikan kepada 11 negara yang menugaskan 18 pesawat pelbagai jenis dalam misi penghantaran bantuan kemanusiaan ke daerah terbabit.

“Kerajaan Indonesia kini sangat berharap lebih banyak bantuan keperluan asas seperti makanan dan ubat-ubatan dapat disalurkan kepada mangsa di sana,” katanya.

Antara negara terlibat termasuklah Malaysia, Jepun, New Zealand, United Kingdom (UK), Qatar, India dan Austra­lia. – utusan