Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, PPR ini bukan sahaja dilaksanakan seperti yang dijanjikan malah ditambah kepada lapan projek keseluruhannya di negeri ini.

Menurutnya, lapan PPR berkenaan termasuklah di Ketereh, Pasir Mas dan beberapa kawasan lain.

“Sebelum ini, Perdana Menteri berjanji untuk membuat PPR di negeri ini dan hari ini, beliau sendiri telah datang untuk melancarkan PPR di Parlimen Machang ini.

“Sebenarnya, beliau janji untuk melaksanakan PPR di dua, tiga kawasan sahaja tetapi telah meluluskan lapan PPR kesemuanya dengan peruntukkan berjumlah RM600 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada

Majlis Pemimpin Bersama Rakyat & Pelancaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Parlimen Machang di sini hari ini.

Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri merangkap Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar. - UTUSAN ONLINE