Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, setiap bayi yang dilahirkan bermula 1 Januari 2018 hingga 31 Disember 2022 akan diberikan unit amanah percuma bernilai RM200.

Katanya, jumlah berkenaan akan dikreditkan secara terus ke dalam akuan Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk bayi bumiputera dan akaun Amanah Saham 1 Malaysia (AS1M) pula untuk bayi bukan bumiputera.

“Alhamdulilah usaha yang diperkenalkan kerajaan ini membawa satu lembaran baharu untuk mendidik masyarakat terutama golongan muda mengenai kepentingan melabur dan membuat simpanan.

“Saya meminta ibu bapa yang layak agar memanfaatkan skim ini di mana tempoh pendaftaran adalah sah dalam masa satu tahun bermula dari tarikh bayi dilahirkan,” ujarnya ketika sidang akhbar selepas menyampaikan sijil ADAM50 di Hospital Bersalin HKL, di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir ialah Pengarah HKL, Datin Dr. Nor Akma Yusof. - UTUSAN ONLINE