Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, langkah tersebut akan diambil seperti mana amaran yang telah diberikan kepada semua kontraktor terlibat sebelum ini.

"Sekiranya pihak ketiga dilantik, kita akan memotong daripada harga kontrak asal mereka bagi membiayainya.

"Pengurusan trafik ini demi keselamatan pengguna jalan raya melibatkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) termasuk pengawal trafik, tanda-tanda penunjuk berhubung kait jalan dan lain-lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Dewan Perpaduan Datuk Daud Abdul Rahman, Kampung Paroh, di sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau juga menyerahkan geran In-Kind Contribution (IKC) Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berjumlah RM300,000 kepada 20 usahawan muda berusia 18 hingga 40 tahun.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebelum ini pasukan petugas telah ditubuhkan melibatkan semua pihak berkepentingan.

"Pihak terlibat seperti syarikat kontraktor, pihak Lebuhraya Borneo Utara Sdn. Bhd. (LBU), Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan Kementerian Pembangunan Infrastruktur Dan Pengangkutan Sarawak bagi menyelaras semua aduan diterima.

"Dahulu kita ada menerima aduan berkaitan pengurusan trafik namun kini sudah tidak ada lagi," katanya.

Bagaimanapun, Fadillah berkata, jika masih berlaku, orang ramai diminta membuat aduan spesifik seperti masa, tarikh dan lokasi agar senang untuk mengambil tindakan lanjut. - UTUSAN ONLINE