Kanvas Belia ini merupakan sebuah dokumen yang merumuskan aspirasi-aspirasi hampir dua juta belia dan akan menjadi input penting dalam penggubalan dasar TN50 tahun ini dan tahun-tahun berikutnya.

Bagi tempoh 30 tahun akan datang, Malaysia bakal berhadapan dengan pelbagai perubahan domestik dan global yang akan me­ngubah wajah negara. Tiada siapa yang dapat meramal masa hadapan tetapi pastinya keadaan dunia akan jauh berbeza daripada hari ini.

Populasi akan bertambah walaupun pada kadar yang lebih perlahan, menjadikan anggaran jumlah penduduk Malaysia seramai 41 juta orang menjelang 2050.

Malaysia akan menjadi satu masyarakat yang semakin berusia menjelang 2050 dengan usia purata 40 tahun berbanding 28 tahun pada hari ini.

Kadar urbanisasi yang tinggi akan berterusan dengan jangkaan sebanyak 85 peratus penduduk tinggal di kawasan bandar dan kawasan pinggir bandar menjelang tahun 2050 di mana kebanyakan masyarakat akan mempunyai akses kepada jaringan Internet.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita negara dijangka meningkat lebih empat kali ganda dalam tempoh 30 tahun akan datang, sebahagiannya didorong oleh jangkaan kadar penglibatan wanita yang lebih tinggi dalam tenaga kerja. Perubahan ini dijangka akan membawa impak yang ketara terhadap cara kita hidup, bekerja dan berhubung antara satu sama lain dalam masyarakat.

Kebanyakan aspirasi yang disuarakan oleh belia Malaysia mencerminkan hasrat mereka untuk melihat permulaan awal dalam persediaan menuju ke arah unjuran-unjuran tersebut - daripada mentransformasi kepada masyarakat yang mementingkan kesihatan, kepada menangani cabaran penduduk yang semakin berusia, kepada menjadikan bandar dan pekan kita antara tempat yang paling selesa untuk didiami dan mampan di dunia.

Trend-trend global berikut juga banyak dibincangkan oleh belia Malaysia serta menjadi asas kepada kebanyakan aspirasi dan cadangan untuk tindakan lanjut.

PERALIHAN KUASA GLOBAL

Dengan kebangkitan Amerika Syarikat, China dan India yang akan menjadi tiga ekonomi terbesar dunia pada 2050, belia Malaysia memikirkan mengenai hubungan Malaysia dengan negara-negara ini. Para belia juga me­nitikberatkan tentang bagaimana Malaysia akan meletakkan diri dalam konteks ekonomi luar Asia yang pesat membangun.

MODEL MASYARAKAT SEMAKIN BERKEMBANG

Pada 2050, populasi dunia akan mencecah 9.8 bilion, membawa kepada urbanisasi yang pesat dengan 35 bandar raya mega di serata dunia. Wanita di negara-negara memba­ngun akan mengalami lebih banyak pemerkasaan ekonomi. Pada masa yang sama, Malaysia akan mempunyai penduduk yang lebih berusia di mana 24 peratus daripada rakyat Malaysia akan berumur lebih 60 tahun. Ini membawa kepada pemikiran belia hari ini mengenai peruntukan yang diperlukan untuk menguruskan keperluan penduduk yang berusia seperti pencen dan penjagaan kesihatan, bagaimana perancangan bandar dan infrastruktur harus dirancang serta perpa­duan sosial dan amalan inklusif untuk generasi akan datang. Mereka juga ingin melihat keharmonian masyarakat berbilang agama dan peningkatan penglibatan wanita terutamanya dalam politik.

PERUBAHAN MODEL PEKERJAAN & PENDIDIKAN

Dengan menggunakan lebih banyak fungsi automatik setiap hari, 40 peratus daripada pekerjaan hari ini berisiko untuk pupus menjelang 2050. Kemahiran yang pelbagai akan menjadi permintaan di masa hadapan dan kebangkitan ekonomi pekerjaan bebas akan mendapat tempat serta berkurangnya pekerjaan sepenuh masa. Pendidikan juga akan menjadi satu proses sepanjang hayat untuk kekal relevan dek perkembangan ekonomi yang pesat. Belia Malaysia ingin mengetahui sektor manakah yang akan terganggu oleh kepesatan teknologi dan bagaimanakah untuk mempersiapkan mereka untuk masa hadapan. Di samping itu, mereka juga prihatin tentang jangkaan dan perubahan landskap pekerjaan.

PERUBAHAN TEKNOLOGI YANG PESAT

Teknologi akan memacu perubahan yang lebih pantas dalam segenap aspek, daripada ekonomi sehinggalah ke masyarakat. Robot akan menjadi lebih canggih dan penggunaannya akan lebih meluas dalam kehidupan seha­rian. Data pula akan lebih mudah diakses dengan kemampuan internet meningkat sebanyak 50 peratus setahun dan kuasa pemprosesan berganda setiap 18 bulan. Sehubungan itu, belia hari ini sudah mula berfikir mengenai bagaimana sistem pendidikan dapat diadaptasi agar dapat memperlengkapkan lagi belia untuk menghadapi dunia yang lebih berteknologi. Mereka juga percaya bahawa akses kepada data yang lebih besar mempunyai risiko keselamatan yang lebih tinggi dan kita harus mempersiapkan mereka menghadapi situasi ini. Dengan peningkatan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan bioteknologi, para belia merasakan bahawa nilai dan etika juga harus berubah seiring dengan kemajuan ini.

CABARAN ALAM SEKITAR

Dalam 30 tahun, kita akan mengalami lebih banyak corak cuaca dan perubahan iklim yang ekstrem. Permintaan terhadap sumber asli semakin meningkat berbanding bekalan yang semakin berkurangan. Permintaan tenaga pula dijangka meningkat sebanyak 25 peratus menjelang 2040. Para belia Malaysia ingin memastikan implikasi alam sekitar dipertimbangkan dalam keputusan ekonomi dan Malaysia akan bergantung kepada campuran sumber tenaga yang berlainan. Mereka juga ingin melihat amalan mampan menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian dan Malaysia memanfaatkan teknologi dalam memajukan agenda kemampanan.