Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, sungai berkenaan cetek menyebabkan air melimpahi tebing.

Menurut beliau, selain daerah Batang Padang, dua lagi daerah iaitu Hilir Perak dan Kerian juga dilanda banjir kali ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri te­lah dan sedang melaksanakan be­­berapa langkah untuk mencegah banjir di kawasan berkenaan.

Kata beliau, ini termasuk pem­bi­naan projek tebatan banjir di da­erah Kerian dan menaik taraf ban-ban di Changkat Jong di Hilir Perak.

“Taburan hujan yang tinggi ter­utama pada waktu petang menja­di punca banjir kilat di ketiga-tiga daerah berkenaan.

“Untuk itu, kerajaan negeri telah mengarahkan agensi yang berkaitan termasuk Majlis Keselamatan Nege­ri bersiap sedia untuk memberi ban­tuan kepada penduduk di kawasan yang dilanda banjir,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Kampung Berjaya dan Kuala Slim di Slim River yang terletak di Daerah Batang Padang merupakan kawasan terbaharu dilanda banjir di negeri ini semalam yang menye­babkan 34 orang dipindahkan ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Kuala Slim.

Kawasan berkenaan dinaiki air setinggi tiga meter dan anggota bomba dan penyelamat masih memantau keadaan di kawasan berkenaan.

Sementara itu, bagi kawasan yang kerap dilanda banjir seperti Da­erah Kerian, Zambry berkata, pro­jek tebatan banjir yang bernilai RM300 juta oleh Kerajaan Pusat sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada 2016 atau 2017.

Menurut beliau, daerah berke­naan kerap mengalami banjir kerana bentuk muka buminya yang lan­dai.

“Saya percaya apabila siap kelak, projek tebatan ini akan mengatasi masalah banjir yang kerap melanda Daerah Kerian,” katanya.