K.Sri Dhamma Patana
K.Sri Dhamma Patana

Ketua Sami Buddha Malaysia, Datuk Dr. K. Sri Dhamma Patana Nayake berkata, tanpa mengira latar belakang, manusia mahupun kumpulan yang memerlukan bantuan harus dibela dan dibantu.

Katanya, bantuan yang ber­teru­san perlu dihulurkan sehingga isu yang melanda etnik tersebut dapat diselesaikan.

“Semua pihak perlu memberi sokongan kepada Malaysia untuk menghulurkan bantuan kepada etnik tersebut. Tindakan (bantuan) yang membawa kepada ke­sejahteraan dan kebaikan harus diberi sokongan yang tidak berbelah bahagi,” kata­nya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata de­­­mikian ketika diminta mengulas langkah yang diambil Malaysia dalam isu membela nasib umat Islam Rohingya se­perti misi bantuan kemanusiaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga te­lah menyem­purnakan majlis pelepasan pa­sukan tinjauan yang dikenali sebagai ‘Misi Kemanusiaan Pelarian Rohingya - Nega­raku Prihatin’, ke Chittagong pada Sabtu lalu.

Sementara itu, di New Delhi, pemimpin tertinggi Buddha, Dalai Lama hari ini mendesak pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi mencari jalan penyelesaian aman berhubung krisis penduduk etnik Islam Rohingya dan melahirkan kebimbangan terhadap keganasan yang menyebabkan hampir 300,000 etnik itu melarikan diri dari negara ber­kenaan.

“Saya merayu anda (Suu Kyi) dan pemimpin-pemimpin Myanmar agar mencari jalan penyelesaian terhadap setiap lapisan masyarakat dan memulihkan hu­bungan persaha­batan semua penduduk me­lalui se­mangat perdamaian dan keamanan,’’ katanya menerusi surat kepada pemimpin wanita itu hari ini.

Beliau buat pertama kalinya mengeluarkan kenyataan berhubung krisis itu turut menegaskan bahawa pihaknya akan membantu penduduk Islam Ro­hingya yang melarikan diri daripada kega­nasan di negara tersebut.