Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah tersebut seperti pemansuhan subsidi minyak, pengurangan kebergantungan kepada hasil minyak, rasionalisasi subsidi dan juga memperkenalkan cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) telah memberi banyak pulangan kepada rakyat dan negara.

“Kerajaan telah mengambil banyak langkah berani dan pelbagai keputusan sukar, untuk mencapai sasaran Malaysia menjadi negara dengan Ekonomi Maju Pendapatan Tinggi, “ kata Najib ketika berucap pada majlis pelancaran Laporan Tahunan 2016 Program Transformasi Negara (NTP) di sini, hari ini.

Pada masa yang sama juga, NTP telah memungkinkan asas ekonomi Malaysia terus kekal teguh dengan mutakhir ini, ekonomi negara berkembang pada kadar di luar jangkaan kerajaan mahu pun Bank Dunia, iaitu 5.6 peratus pada suku pertama tahun 2017.

Najib berkata, atas kejayaan itu, beliau sentiasa membentangkan laporan tahunan NTP tanpa gagal, walaupun ada pihak ter­ten­tu cuba menidakkan kecemerlangan dicapai Malaysia.

Jelasnya, dari segi pencapaian, Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) iaitu dua aspek terpenting dalam program NTP merekodkan kejayaan cemerlang apabila mencapai 101 peratus.

“Apa yang paling mustahak, seperti saban kali saya ulang, segala fakta, angka mahupun jumlah peratusan kejayaan yang dilaporkan bukannya retorik, rekaan atau bak kata orang hanya syok sendiri.

“Namun, dengan tegas ingin saya nyatakan bahawa kesemua fakta dan maklumat ini telah diaudit dan diabsah oleh pihak antarabangsa yang berkecuali, bertauliah lagi berwibawa,” katanya ketika membentangkan Laporan NTP 2016 di Dewan Agong Tuanku Canselor Universiti Teknologi Ma­ra (UiTM) di sini malam ini.

Yang turut hadir, Timbalan Per­dana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan seluruh barisan Kabinet.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, manifestasi kepada hasil kejayaan kerajaan mewujudkan NTP dapat dilihat apabila jumlah pelaburan asing meningkat kepada RM41 bilion pada tahun lalu, selain potensi sehingga RM144 bilion yang bakal dibawa masuk China.

Tambahnya, tidak hanya sekadar itu, tahun 2017 juga menyaksikan Saudi Aramco melabur sebanyak RM31 bilion dalam projek Kompleks Bersepadu Pengerang di Johor, iaitu pelaburan asing tunggal terbesar pernah berlaku dalam sejarah Malaysia.

Dalam pada itu, Najib memberi jaminan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinannya akan terus berusaha gigih untuk meningkatkan nilai dagangan negara kepada RM2 trilion menjelang 2025 berbanding RM1.3 trilion ketika ini.

Bagi tujuan itu serta perancangan besar untuk meletakkan Malaysia terus gemilang, beliau seterusnya meminta seluruh rakyat agar dapat seiring dan sejalan dengan kerajaan kerana tiada mana-mana negara mampu melangkah ke hadapan tanpa sokongan orang ramai.

“Sebagai kerajaan, sekali kita melangkah ke hadapan kita tidak akan berpatah pulang dan berbalik haluan. Sebaliknya kita hanya ada satu pilihan sahaja untuk terus maju, terus berjaya dan terus mencapai kejayaan.

“Kata orang, biar taufan datang melanda, walaupun badai menggunung tiba, kerajaan BN akan tetap mara. Takkan undur, takkan mengalah,” katanya.