Mohd. Tamyes

Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abd. Wahid berkata, antara imp­likasi buruk yang akan berlaku adalah proses perwalian tidak sah ketika akad nikah berikutan anak pe­rempuan luar nikah diwalikan oleh bapanya sendiri.

Kata beliau, pergaulan antara anak perempuan luar ni­kah dengan bapa biologi adalah seperti anak tiri dengan bapa tiri dan anak luar nikah juga tidak layak me­nerima harta pusaka daripada sebelah bapa biologinya.

“Atas sebab itu, keputusan Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang dan membincangkan isu ini pada 1998 bukannya untuk menghukum, sebaliknya ia dibuat berdasarkan nas-nas syarak daripada al-Quran dan hadis.

“Langkah bin atau binti kepada bapa biologi dengan alasan untuk menutup aib anak luar nikah tidak harus timbul kerana masyarakat sepatutnya tidak perlu memandang serong kepada anak-anak ini, yang bersalah bukan mereka tetapi ibu dan bapanya yang melakukan perbuatan zina,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Walau bagaimanapun Mohd. Tamyes berkata, hukum syarak membenarkan bayi dibin atau dibintikan kepada bapa biologi jika tempoh waktu akad nikah berlaku le­bih enam bulan daripada tarikh kelahiran, berdasarkan surah al-Ahqaf ayat 15 iaitu tempoh minimum wanita mengandung adalah enam bulan manakala tempoh menyusu dua tahun.

Tegas beliau, atas sebab itu, Ja­watankuasa Fatwa Selangor memu­tus­kan bayi yang lahir kurang daripada enam bulan daripada tarikh akad nikah ibunya tidak boleh berbin atau berbintikan ke­pada bapa bio­logi.

mohd. yusuf ahmad
MOHD. YUSUF AHMAD

Sementara itu, Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad ber­kata, keputusan Mahkamah Rayuan itu akan menyebabkan keturunan mas­yarakat Islam cacamarba ma­lah tidak mustahil untuk berlakunya perkahwinan antara adik-beradik kerana keturunan yang tidak diketahui.

Kata beliau, dalam menjaga keturunan atau nasab seseorang itu, anak luar nikah tidak boleh dinasabkan se­perti anak yang lahir daripada pernikahan sah kerana Islam menitikberatkan perkara berkaitan agama, nyawa, akal, keturunan, harta benda dan maruah.

Tambahnya, perundangan­ Islam itu juga bertujuan men­disiplinkan umat Islam supaya berfikir terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang tindakan, selain mendahulukan hukum syarak daripada logik akal.

Kelmarin, Mahkamah Ra­yuan berpendirian supaya anak pasangan beragama Islam yang dilahirkan secara luar nikah, layak di sisi undang-undang untuk berbin atau berbintikan nama bapanya.