Kapal Nautical Aliya yang membawa 230 sukarelawan dan 2,200 tan makanan serta ubat-ubatan itu belayar tepat pukul 4 petang dengan majlis pelepasan dirasmikan secara bersama oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Perdana Menteri dalam ucapannya berkata, flotila tersebut merupakan perlambangan kepada perpaduan ummah bukan sahaja melibatkan UMNO dan Pas, tetapi lebih penting menunjukkan kasihnya umat Islam negara ini kepada etnik Rohingya selaku saudara seagama.

“Hari ini kita sama-sama akan melepaskan misi Malaysia Food Flotilla for Myanmar, satu usaha yang sangat murni, usaha yang menandakan bahawa segala kesusahan, keseksaan dan penderi­taan etnik Rohingnya di Myanmar tidak akan diabaikan dan kita berusaha sedaya-upaya (membantu).

“Kita telah mulakan perjuang­an ini...bila? Waktu kita mendengar suara mereka, suara penderi­taan, mereka yang diperkosakan, dibunuh dan dibakar hidup-hidup.

“Kita tidak berdiam diri. Kita telah bangkit dalam Perhimpunan Agung UMNO. Kita berhimpun di Taman Tasik Titiwangsa, satu peristiwa yang cukup bersejarah kerana Presiden UMNO dan Presi­den Pas hadir.Najib TUN RAZAK bersama Tuan Ibrahim Tuan Man mendengar penerangan

“Kita susuli dengan persidang­an tergempar OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam). Kita tidak berdiam diri, tidak akan berpuas hati dengan usul, tapi kita mahu mengatakan bahawa sudah...cukup­lah...cukuplah pende­ritaan Rohingnya. Enough is enough,” katanya di Pelabuhan Klang di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pertaha­nan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim dan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.