Rata-rata pengunjung tidak menyangka terdapatnya sawah padi di tengah-tengah bandar dan apabila bagaikan dibawa khas di pameran ini membuatkan pe­ngunjung teruja bagai mengunjungi sawah bendang yang sebenar.

Tinggal lagi tiada kerbau atau lembu yang lazimnya digunakan untuk membajak sawah tetapi pengunjung dapat melakukan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan termasuk bermain bola di atas bendang sawah yang lecak dan berlumpur.

Timbalan Pengarah, Ins­titut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Mazidah Mat berkata, laman ini bertujuan mendekatkan orang ramai kepada industri beras yang menjadi makanan ruji dan sangat berkait rapat dengan ke­selamatan dan jaminan makanan negara.

“Di laman ini, pengunjung akan lebih memahami pelbagai isu membabitkan padi, ini termasuklah penanaman padi, penggredan padi sehinggalah kepada isu harga beras,” katanya.

Selain itu, pengunjung juga dapat menyaksikan pelbagai keunikan yang dipaparkan di laman ini termasuk spesies padi berasal dari Filipina yang di mana ke­seluruhan pohon padi­nya berwarna ungu bukan hijau sebagaimana lazim.

“Spesies padi ini berasal dari Filipina yang kulit padinya juga berwarna ungu.

“Jadi sengaja kita tanam bersebelahan pohon padi hijau bagi menam­pakkan kontra warna antara ke­dua-dua pohon padi ini. Sangat unik kerana mungkin ada yang menganggap padi ungu ini di­sebabkan penyakit sedang­kan kita mungkin tanam padi ungu ini di negara ini pada suatu hari nanti,” katanya.

Di laman ini sebenarnya terdapat sebuah mesin mempro­ses padi yang dibawa khas bagi menggalakkan para pesawah kita memilikinya dan mampu menge­luarkan hasil beras dengan jenama mereka sendiri.

“Mesin padi yang dijual de­ngan harga RM5,000 ini dapat membantu meningkatkan pendapatan pesawah yang tidak sahaja lagi bergantung kepada penjualan padi ke kilang-kilang padi untuk diproses dan dipasarkan,” kata­nya.

Tambah Mazidah, pengunjung bukan sahaja boleh mencuba mesin ini tetapi pastintya kagum dengan beras Kedah Rice yang dihasilkan, sangat bersih dan yang lebih penting mereka boleh mengambil satu kampit kecil beras tersebut untuk dibawa balik.

“Apabila Beras Kedah Rice ini ditanak di rumah, sudah pas­ti ia jauh lebih istimewa rasanya berban­ding beras-beras jenama biasa yang dbeli,” kata­nya.

Demonstrasi lain yang menarik di laman ini ialah cara-cara untuk menggredkan beras.

“Adalah penting untuk pe­ngunjung me­nyaksikan de­monstrasi ini selagi pengetahuan kepada mereka mengapa terdapat harga beras yang berbeza-beza di sam­ping mempelajari jenis-jenis padi yang menghasilkan pelbagai jenis kualiti beras,” katanya.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang melihat demonstrasi pembuatan bedak sejuk yang ditunjukkan oleh Mashitoh Hassan dari Pendang Kedah.

Bedak sejuk daripada beras yang direndam berbulan-bulan lama­nya yang kemudiannya dikisar halus dan dicampur air mawar mampu menaikkan seri wajah si pemakai.

Jangan ragu-ragu mengenai­nya malah belilah dengan hanya harga RM5 sahaja di laman ini.

Terdapat juga demonstrasi membuat wau yang sering dimainkan selepas padi dituai di sawah-sawah yang telah kering.

Bagi mengembalikan nostalgia ini terdapat pelbagai jenis wau yang turut dijual di sini.

Bercakap mengenai juadah istimewa dari negeri-negeri Jelapang Padi terutamanya Kedah dan Perlis, maka di sinilah juga tempatnya.

Terdapat pelbagai gerai yang menghidangkan Laksa Kedah, Pulut Mangga, Pulut Ikan Pekasam, Nasi Kerabu dan kuih muih tradisional seperti Karas.

Nikmatilah juadah-juadah ini di ruang yang disediakan berse­belahan sawah padi dan ia sangat mengasyikkan.

Anda juga akan diuji untuk meneka nama beras. Ia sangat mencabar kerana selama ini kita hanya tahu untuk menikmatinya sahaja.

Kebetulan Syarikat Beras Faeza juga mengadakan jualan pelbagai jenis beras keluaran syarikat ini dengan harga yang lebih murah. Begitu juga dengan beras-beras istimewa varieti padi wangi mardi iaitu MARDI Wangi 74 dan MARDI Wangi 76, beras terbaharu turut dijual di Laman ini.

“Tidak dijual di tempat lain sama di dalam atau di luar MAHA, tetapi segera dapatkan di Laman ini,” kata Mazidah.

Pelbagai lagi pengalaman unik boleh diperoleh di Laman ini, maka tunggu apa lagi. Cepatlah ke sana.