Di laman itu sahaja dipamerkan lebih 300 jenis jentera dan mesin, bagaikan satu ‘armada’ perang daripada yang bersaiz kecil sehingga jentera memotong jerami padi yang bersaiz ‘gergasi’.

Pengunjung yang melawat laman ini pasti terkejut dengan kemunculan dan layanan mesra ‘The Mighty Bumblebee’, aksi robot ala transformer di laman tersebut.

Kehadiran robot itu menyebabkan ada kanak-kanak kecil menjerit ketakutan, namun ramai yang pula mengambil kesempatan untuk bergambar kenangan bersama robot tersebut.

Kehadiran kereta api monorack, yang pertama kali diperkenalkan di negara ini melalui MAHA kali ini turut menyebabkan ramai pengunjung tidak berganjak dari laman ini.

Mereka turut berpeluang menaiki kereta api tersebut yang direka khas untuk digunakan di kawasan berlereng dan berbukit untuk mengangkut hasil tuaian seperti kelapa sawit dan baja.

Pengarah Bahagian Kejuruteraan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Ahmad Puzi Abu Bakar berkata, kereta api itu diperkenalkan untuk kawasan-kawasan pertanian di sekitar Came­ron Highland dan Lojing, Kelantan.

“Kereta api ini bukan sahaja memudahkan pengangkutan tetapi dapat menjaga alam sekitar yang lazimnya akan rosak akibat penggunaan kenderaan pacuan empat roda dan kenderaan berat lain.

‘Tetapi dalam MAHA 2016, kereta api ini akan membawa pe­ngunjung melawat ladang nanas dan kebun-kebun sayuran serta bunga berdekatan Laman Armada Jentera.

Selain pengunjung berpeluang merasai sendiri keenakan ais krim daripada buah nangka dan strawberi keluaran Pertubuhan Peladang yang masih belum ada di pasaran, mereka juga pasti teruja dengan pelbagai acara demonstrasi yang diadakan di laman itu sepanjang MAHA kali ini.

Ini termasuklah demonstrasi mesin-mesin baharu untuk memproses makanan oleh pakar rekaan, Zull Design, masakan, me­nuai dan banyak lagi.

Menariknya, sehingga hari ini nilai jualan dan tempahan di laman itu sahaja sudah mencecah melebihi RM10 juta.

Ahmad Puzi berkata, pada awalnya mereka menjangkakan nilai jualan hanya RM3 juta dan melihatkan kepada sambutan hangat, dijangkakan nilai jualan boleh mencecah RM12 juta menjelang tamat MAHA 2016 pada Ahad ini.

“Ini menunjukkan minat orang ramai kini beralih ke bidang pertanian dan keusahawanan.

“Selain itu ramai yang membuat tempahan untuk membeli kenderaan wagon berharga RM20,000 untuk memulakan perniagaan menjual makanan dan sebagainya,” katanya.