Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi berkata, laluan kontra untuk kenderaan ringan (Kelas 1) akan mula diaktifkan seawal 6 pagi dan berakhir 7 malam pada 13 dan 14 Jun ini.

"Pengguna yang ingin keluar ke Persimpangan Rawang Selatan atau singgah di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Rawang dinasihatkan agar tidak memasuki laluan kontra terbabit, tetapi terus menggunakan laluan kiri yang sedia ada untuk memudahkan mereka memasuki persimpangan yang berkaitan," katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, PLUS menasihati semua pemandu yang menggunakan laluan tersebut supaya mematuhi semua papan tanda serta arahan yang diberikan.

Pada masa sama, katanya, PLUS juga telah mengenal pasti enam lagi lokasi tambahan di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan yang berpotensi untuk pengaktifan laluan kontra bagi membantu melancarkan pergerakan trafik iaitu di antara Seremban - Senawang, Hentian Sebelah Rawang - Sungai Buloh, Ayer Keroh - Jasin, sekitar Bukit Moakil, Simpang Renggam - Sedenak serta Senai Utara - Kulai.

"Namun begitu, lokasi laluan kontra tambahan ini hanya akan dibuka bergantung kepada keperluan dan kesesuaian keadaan trafik," katanya. - BERNAMA