Beliau berkata, sekolah kebangsaan adalah wadah menyatukan rakyat negara ini kerana bahasa Melayu adalah bahasa pengantar yang ditutur oleh murid sekolah.

Tegasnya, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan Pusat melaksanakan dasar tersebut dan jangan sesuka hati mengubah dasar mengikut nafsu politik.

“Sekolah kebangsaan adalah medium terbaik memupuk dan mengekalkan perpaduan antara kaum kerana bahasa yang dipertuturkan adalah bahasa Melayu khususnya di sekolah luar bandar.

“Bantuan kewangan juga perlu diperuntukkan lebih besar yang sesuai dengan jumlah sekolah yang terdapat di negara ini khususnya di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau mengulas ucapan Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam yang mahu melihat pembaharuan lebih besar mengenai pendidikan dalam usaha menjadikan sekolah kebangsaan hebat semula dan seterusnya menyediakan tenaga kerja yang berkualiti dalam memastikan kemapanan ekonomi negara.

Perdana Menteri berkata, pasukan petugas khas telah dibentuk untuk mengkaji keseluruhan dasar pendidikan kebangsaan, dari prasekolah hingga pendidikan tinggi dan penemuan mereka dijangka siap pada bulan depan.

Mengulas lanjut, Ramlah menegaskan sekolah kebangsaan di kawasan luar bandar perlu diberi perhatian lebih, khususnya dalam aspek latihan guru dan fasiliti.

“Kita kena beri wajah baharu seperti mencantikkan sekolah, kemudahan kelas dan bangunan khususnya di pedalaman Sabah dan Sarawak tetapi jangan sampai menganak-tirikan orang lain,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE