Ketua Pengarahnya, Dr. Jalalu­ddin Harun berkata, program itu menelan perbelanjaan keseluruhan kira-kira RM2 juta.

Menerusi program itu, katanya, seramai lapan pereka perabot tempatan mendapat bimbingan dan nasihat daripada empat pereka pe­rabot profesional antarabangsa.

Katanya, pihaknya turut merancang siri kedua program tersebut dengan penglibatan lebih ramai pereka perabot profesional tempatan.

“Program ini diilhamkan pada 2012 menerusi Pameran Perabot Antarabangsa Milan (i-Saloni) di Itali. Program ini yang bermula setahun lalu bagaimanapun sudah tamat dengan jayanya dan berjaya menghasilkan 20 prototaip reka bentuk perabot yang menepati citarasa antarabangsa.

“Kita mahu rekaan perabot untuk pasaran eksport mempunyai piawaian yang tinggi dan menepati citarasa antarabangsa,” katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui dalam Pameran Perabot Eksport Malaysia (EFE) 2016 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Nilai eksport perabot Malaysia pada tahun lalu bernilai RM9.14 bilion, meningkat 14.1 peratus berbanding 2014.

Amerika Syarikat menjadi destinasi eksport paling tinggi Malaysia pada tahun lalu diikuti Jepun, Si­ngapura, Australia, United Kingdom, India, Kanada, Emiriyah Arab Bersatu, Arab Saudi dan China.

Tambah Jalaluddin, MTIB sejak 2012 membentuk pasukan pereka perabot profesional terdiri daripada 13 pereka tempatan digelar Tanggam.

Jelasnya, kriteria untuk me­nyer­tai Tanggam amat sukar kerana pereka-pereka perabot perlu memenuhi kriteria seperti pernah memenangi anugerah reka bentuk perabot di peringkat tempatan dan antarabangsa serta beberapa kriteria lain.

Menurut Jalaluddin, MTIB pada waktu ini juga sedang membina sebuah kompleks studio di Kota Damansara dekat sini yang dijangka siap pada pertengahan tahun ini.

Menurutnya, studio tersebut dibuka untuk kunjungan orang ramai selain menarik lebih ramai pereka perabot profesional untuk mencipta rekaan masing-masing dengan menggunakan sistem perisian Autocad.