Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, dengan keperluan masa kini, adalah penting untuk bakal-bakal petani dilatih dengan penggunaan teknologi terkini bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan serta memperluaskan amalan pertanian baik.

“Penggunaan teknologi juga merupakan elemen penting yang mampu menarik minat golongan belia untuk menjadikan sektor agromakanan sebagai kerjaya pilihan.

“Inovasi dan kecanggihan teknologi dalam pertanian moden masa kini seperti smart farming dan mekanisasi misalnya, tidak lagi memerlukan ruang tanah yang luas mahu pun tenaga buruh yang ramai.

“Bagi merealisasikan hasrat ini, kewujudan 15 buah institut latihan pertanian di bawah kementerian merupakan antara platform dalam membangunkan modal insan berasaskan pengetahuan, kemahiran, tek­nologi serta keusahawanan di samping menyediakan tenaga pertanian yang terlatih bagi memenuhi keperluan industri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Konvokesyen Pertanian Ke-8 Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dekat sini semalam.

Yang turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd. Salleh­huddin Hassan dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Badrul Hisham Mohd.

Dalam majlis tersebut, seramai 1,274 orang graduan me­nerima diploma dan sijil daripada institusi-institusi latihan pertanian di bawah kementerian.

Daripada jumlah itu, 122 orang graduan menerima Diploma Kemahiran Malaysia, 765 orang menerima Sijil Kemahiran Malaysia, Sijil Pertanian Malaysia (308 orang), Sijil Veterinar Malaysia (45 orang) dan Sijil Perikanan (34 orang).

Enam Anugerah Khas turut disampaikan pada majlis konvokeseyen tersebut iaitu Anugerah Khas Pingat Emas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Anugerah Khas Ke­tua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Anugerah Khas Ketua Pe­ngarah Pertanian.

Turut disampaikan ialah Anugerah Khas Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Anugerah Khas Ketua Pengarah Perikanan dan Anugerah Khas Pengarah Bahagian Latihan Kemahiran Pertanian Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Menurut Salahuddin, pi­hak­nya sentiasa menjalankan kajian kebolehpasaran graduan bagi memastikan pembangunan modal insan sektor agromakanan terus diberi keutamaan.

Melalui kajian tersebut, kata beliau, 65 peratus graduan telah memperolehi pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian sama ada be­kerja sebagai tenaga kerja mahir di dalam sektor pekerjaan atau menceburi bidang keusahawanan pertanian.

“Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui Bahagian Latihan Kemahiran Pertanian (BLKP) turut mengadakan Program Pemadanan bagi membuka peluang pekerjaan kepada graduan.

“Sempena majlis ini, kita juga mengadakan Agro Job Fair melibatkan penyertaan 22 syarikat swasta yang menawarkan kira-kira 400 peluang pekerjaan dan pakej keusahawanan dalam bidang agromakanan,” katanya.

Dalam pada itu, Salahuddin berharap lebih ramai penyertaan kaum bukan Melayu di pu­sat-pusat latihan di bawah kementerian pada masa akan datang.

“Buat masa ini hanya kira-kira lima peratus kaum bukan Melayu mengikuti pengajian di institusi-institusi latihan pertanian, selebihnya adalah kaum Melayu.

“Jadi kita akan buat lebih banyak promosi untuk menambah daya tarik supaya mereka dapat menyertai institusi-institusi ini,” ujarnya.