Ketua Pasukannya, Zaiduna Jauhar, 62, berkata, tiga lagu berkenaan merupakan lagu khusus kepada Sultan Kelantan yang dimainkan pada acara-acara tertentu.

"Lagu yang paling kerap dimainkan adalah Raja Berangkat yang dialunkan ketika keberangkatan tiba dan pulang mana-mana Sultan Kelantan di Balairung Seri, Istana Kota Lama di Kota Bharu pada setiap tahun. Namun lagu ini hanya kedengaran ketika Hari Keputeraan baginda sahaja.

"Cuma sekali sahaja lagu ini dimainkan pada luar kebiasaan iaitu ketika keberangkatan Seri Paduka (Sultan Muhammad V) ke Kuala Lumpur bagi menduduki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 13 Dis lepas dan dialunkan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di Kota Bharu," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjalani latihan bersama pasukan itu di Wakaf Tembesu, Berangan di sini.

Mengulas lanjut, Zaiduna berkata, lagu Seri Istana akan dimainkan semasa perarakan alat-alat kebesaran diraja manakala lagu Raja Bertabal pula akan dialunkan semasa seseorang Sultan Kelantan itu ditabalkan menjadi pemerintah.

"Kedua-dua lagu ini, Seri Istana dan Raja Bertabal hanya dialunkan sekali seumur hidup kepada seseorang Sultan Kelantan ketika baginda ditabalkan menjadi pemerintah di negeri ini.

"Bagaimanapun, ketiga-tiga lagu ini akan turut dimainkan sempena pertabalan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur pada 24 April ini," katanya. - BERNAMA