Presiden PPj, Datuk Seri Hasim Ismail berkata, penulisan lirik lagu itu merupakan hasil gabungan nukilan beliau sendiri dengan kerjasama penulis lirik terkenal, Syed Indera Syed Omar atau lebih dikenali sebagai Siso.

"Gabuhan lagu ini pula dihasilkan oleh komposer tersohor iaitu, Hashim Said atau S. Atan dengan menggunakan genre muzik pop bagi menyuntik elemen malar segar dalam lagu ini.

"Bagi menyerlah lagi lagu ini, penyanyi 'evergreen' Datuk Nassier Wahab dipilih untuk mendendangkannya agar ia dapat dihayati dengan sempurna," katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Lagu 'Pesona Putrajaya' dan Majlis Mesra Aidilfitri Bersama Media di sini hari ini.

Menurut beliau lagi, pelancaran lagu ini merupakan langkah awal bagi menyuntik minat dan keinginan para komposer tanah air untuk menghasilkan lebih banyak karya dalam mengambarkan keindahan Putrajaya.

Katanya, bagi menyemarakkan dan menggalakkan penyertaaan komposer tempatan, PPj akan menganjurkan pertandingan mencipta lagu Putrajaya dalam tahun ini.

"Kami menawarkan hadiah berbentuk wang tunai bernilai RM100,000 kepada bakal pemenang.

"Kita mengalu-alukan penyertaan komposer bagi menonjolkan bakat masing-masing sekali gus dapat menghasilkan karya-karya unggul mengenai Putrajaya," katanya. - UTUSAN ONLINE