Azam Baki

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki berkata, mereka akan dihadapkan ke mahkamah dalam bulan ini atau bulan depan.

“SPRM sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada pihak pendakwa raya untuk dipertimbangkan. Ada beberapa elemen siasatan lagi yang perlu kita perkemaskan.

“Kita tidak akan dedahkan nama-nama me­reka yang bakal dituduh. Mereka (yang akan dituduh) adalah kalangan yang pernah ditangkap dalam kes itu­ sebelum ini,” kata­nya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Operasi Bersama-sama Pen­ga­rah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd. Ghani dan Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias di sini hari ini.

Exco kerajaan negeri, Datuk Abd. Latif Bandi dan seorang perunding hartanah, Amir Sha­rif­fuddin Abd. Raub masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan rasuah melibatkan hartanah berjumlah lebih RM30.3 juta di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Sebelum ini, selain Abd. Latif, 51, anak dan pegawai khasnya bersama-sama dua individu lain termasuk dua pemaju serta seorang kontraktor ditahan, namun dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas melalui tempoh tahanan reman.

Azam berkata, Abd. Latif atau Amir Shariffuddin akan didakwa lagi selepas ini, selain mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan spekulasi mengenai individu yang akan dibawa ke mahkamah, sekali gus menafikan terdapat orang kenamaan lain akan turut didakwa.

Mengenai nilai keseluruhan kes rasuah itu yang setakat ini me­libatkan RM30.3 juta, beliau berkata, pihaknya sedang dalam peringkat akhir mengenal pasti jumlah sebenar dan siasatan ma­sih lagi berjalan serta enggan men­dedahkannya.

Beliau merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri terutama Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan pegawai-pegawainya kerana memberikan kerjasama yang baik sepanjang proses siasatan dija­lankan.

“Kita dibenarkan berbincang dengan pegawai-pegawai nege­ri Johor untuk melihat sistem dan prosedur dalam kes ini yang mempunyai kelemahan. SPRM dalam peringkat akhir untuk membentangkan sistem atau prosedur yang ada kelemahan kepada ne­geri Johor,” katanya.