Masatoshi Sone

Ini merupakan kejayaan terbaru kumpulan penyelidik itu selepas penemuan sebatang fosil gigi reptilia itu di kawasan yang sama pada Ogos tahun lalu.

Penemuan itu disahkan Pensyarah Bahagian Paleontologi, Sedimentologi dan Tektonik di jabatan itu, Prof. Dr. Masatoshi Sone yang turut mengetuai kumpulan tersebut.

Sone berkata, fosil itu berbeza dengan spesimen yang ditemui sebelum ini kerana ia dimiliki dinosaur daripada kalangan Ornithischia iaitu jenis pemakan tumbuh-tumbuhan (herbivor).

“Fosil yang dinamakan sebagai ‘sampel UM10580’ itu berukuran 13 milimeter lebar dan 10.5 milimeter panjang. Sehingga kini, jenis dinosaur masih belum dapat dipastikan.

“Kemungkinan terdapat banyak fosil dinosaur bersaiz besar masih belum dijumpai di Malaysia. Oleh yang demikian, kumpulan penyelidik UM akan secara berterusan menjalankan proses pencarian di kawasan-kawasan berpotensi di seluruh negara,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Canseleri UM di sini hari ini.

Yang turut hadir, Dekan Fakulti Sains UM, Prof. Dr. Zanariah Abdullah dan Ketua Jabatan Geologi, Fakulti Sains UM, Prof. Madya Dr. Mustafa Kamal Shuib.

Pada Ogos tahun lalu, sebatang fosil gigi dinosaur daripada spesies Spinosaurid Therapod atau lebih dikenali sebagai ‘dinosaur pemakan ikan’ ditemui di sebuah lokasi di Pahang.

Fosil itu mempunyai ukuran 23 milimeter panjang dan 10 milimeter lebar.

Sone berkata, kajian susulan ke atas fosil baharu akan diteruskan memandangkan beberapa maklumat mengenainya masih belum dapat dipastikan.

“Apabila kajian terhadap fosil itu selesai, kemungkinan besar ia akan ditempatkan di Muzium Negara untuk tontonan umum. Namun itu masih menjadi cadangan dan belum mendapat pengesahan mana-mana pihak.

“Pihak kami bercadang meluaskan aktiviti pencarian dan penyelidikan ke beberapa kawasan lain di Terengganu, Kedah dan Batu Pahat, Johor kerana berpotensi tinggi bagi penemuan fosil-fosil baharu,” katanya.

Dalam pada itu, Sone memberitahu, pihaknya bercadang membukukan penemuan fosil tersebut bagi tujuan penyelidikan dan pendidikan pada masa hadapan.