Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, pameran pertanian selama 11 hari bermula 22 November hingga 2 Disember ini di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang dekat sini merupakan platform terbaik usahawan menjana pendapatan daripada hasil pertanian.

“MAHA 2018 menampilkan durian, nanas dan kelapa sebagai sumber rezeki baharu bidang pertanian yang mampu melahirkan lebih ramai usahawan.

“Mereka ini mampu muncul sebagai jutawan dengan menjana kekakayaan dari hasil pertanian. Ini juga didorong oleh kecanggihan teknologi dan inovasi pertanian di negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Countdown 85 hari menjelang MAHA di Maeps, Serdang hari ini.

Selepas mendapat sambutan luar jangkaan pada penganjuran lalu, MAHA 2018 yang masih mengekalkan tema ‘Makanan Kita, Masa Depan Kita’ dijangka mampu menarik lebih 3.5 juta pengunjung menerusi pelbagai aktiviti seperti 13 pavilion negeri, 501 juadah popular, jualan segar 11,111 produk dan banyak lagi.

Terdapat lima tarikan baharu pada MAHA 2018 seperti kulinari, sumber rezeki baharu, teknologi terkini, jualan industri asas tani berkonsepkan pasar raya besar dan Miracle Garden (taman).

Turut hadir Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd. Sallehuddin Hassan dan Pengarah Sekreteriat MAHA 2018, Azman Mohd. Saad.

Sementara itu, Salahuddin berkata, sehingga kini kementerian telah menerima 70 peratus tempahan daripada 1,5000 gerai jualan dan pameran.

Selain itu, katanya, terdapat perubahan pada waktu penganjuran MAHA 2018 berbanding terdahulu.

“Jika sebelum ini MAHA dibuka dari pukul 10 pagi hingga 10 malam namun kini kita mengurangkan waktu pameran. MAHA 2018 akan dibuka dari pukul 10 pagi hingga 7 malam.

“Namun, pengunjung masih lagi boleh berada di sini selepas waktu pameran kerana ruangan jualan makanan tetap akan dibuka sehingga pukul 10 malam,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE