Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Amin Lin Abdullah berkata, ladang yang beroperasi sejak Julai 2012 itu mula menjalankan kegiatan mencuri air terawat sejak Januari 2015 dan mengakibatkan kerugian melebihi RM129,145. 

"Hasil pemeriksaan bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) ke premis berkenaan mendapati pemilik ladang telah melakukan satu sambungan haram daripada paip utama.

"Kita dapati sambungan haram ini digunakan untuk menampung kegunaan operasi harian ladang ini manakala bekalan air yang berdaftar dengan pihak kita hanya digunakan untuk kegunaan kuartes pekerja,"katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Jelas beliau, pemilik ladang akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 123 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) dan jika sabit kesalahan boleh didenda sebanyak RM100,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali. - UTUSAN ONLINE