Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banting, Lau Weng San berkata, operasi tersebut melibatkan kawasannya sahaja dan tidak melibatkan kawasan lain di daerah ini.

“Kita hanya melakukan operasi di ladang-ladang ternakan khinzir kawasan Banting sahaja, tidak termasuk di Tumbuk (Ladang Tumbuk, Sepang).

“Buat masa ini kita masih menyemak kawasan terlibat. Segalanya masih dalam proses mengenalpasti kawasan yang terlibat,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas pemeriksaan ke atas kilang-kilang haram kitar semula bahan plastik di kawasan DUN Banting, di sini semalam.

Mengulas mengenai operasi kilang haram tersebut, Weng San memberitahu, ia adalah operasi kedua melibatkan lapan kilang di beberapa kawasan di bawah DUN Banting setelah operasi sama dilakukan di tujuh kilang, minggu lalu.

Menurutnya, serbuan di dua kilang haram tersebut mendapati ia tidak beroperasi dan seorang pekerja yang berada di kawasan kilang ditahan oleh Jabatan Imigresen kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

“Pihak kami dan kesemua agensi terlibat akan meneruskan operasi seterusnya melibatkan kira-kira 23 buah lagi kilang haram kitar semula yang menjadikan kesemuanya sebanyak 38 kilang.

“Saya berharap operasi yang kita lakukan bagi memastikan alam sekitar terpelihara dapat memberi kesedaran kepada pengusaha kilang untuk beroperasi mengikut peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa,” ujarnya.

Beliau menambah, operasi tersebut melibatkan 70 anggota penguat kuasa dari Pejabat Tanah Daerah Kuala Langat, Polis Diraja Malaysia, Air Selangor, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL). - UTUSAN ONLINE