J. Solomon

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), J. Solomon berkata, langkah itu perlu diambil bagi memastikan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40) tidak terbeban dengan potongan gaji tersebut.

“Kita sedar niat kerajaan untuk membantu suri rumah namun kajian terperinci perlu dilakukan bagi memastikan semua pihak mendapat manfaat dan tidak terbeban dengan inisiatif tersebut.

“Langkah pemotongan dua peratus gaji tersebut perlu mendapat persetujuan suami selain dibincangkan dengan pelbagai pihak berkenaan. Sekiranya semua pihak bersetuju, barulah kerajaan boleh melaksanakannya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Solomon berkata, berdasarkan sumbangan RM50 secara bulanan ke KWSP, kerajaan disaran untuk menubuhkan skim pencen untuk isteri yang kehilangan suami bagi memastikan nasib golongan tersebut terus dibela sekiranya kehilangan tempat bergantung.

Katanya, bagi suri rumah yang mempunyai suami tidak bekerjaya, kerajaan tetap perlu memperuntukkan sumbangan RM50 tersebut demi masa depan anak-anak mereka nanti.

“Kita sentiasa mengalu-alukan inisiatif kerajaan yang mahu membantu masyarakat seperti mana pengenalan KWSP kepada suri rumah dilakukan dan berharap penelitian terperinci dilakukan sebelum sebarang langkah diambil,” katanya.