Timbalan Perdana Menteri, Da­tin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, perkara itu akan diperincikan dengan lebih teliti menerusi mesyuarat dengan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan pada pukul 3 petang Khamis ini.

“Kita tiada perincian terhadap suami berkahwin dua, tiga dan em­pat. Itu lainlah ceritanya sebab tujuan utama (pemotongan) adalah mengiktiraf isteri.

“Memang isteri-isteri itu kalau ikut hukum mereka juga isteri. Ki­ta akan tengok perincian lebih baik mengenai hal itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas Prog­ram Lawatan Turun Padang ke Rumah Ehsan Warga Emas Kuala Kubu Bharu di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setia­usaha Kementerian Pemba­n­gun­an Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Suriani Ahmad dan Ke­tua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Mohd. Fazari Mohd. Salleh.

Sementara itu, Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, caruman KWSP untuk golongan suri rumah melibatkan dua peratus daripada gaji suami tidak membabitkan caruman tam­­bahan.

Kata beliau, potongan dua pe­ratus daripada 11 peratus caruman KWSP suami itu kekal seperti yang dicadangkan sebelum ini.

“Kita tak tambah pun, kekal dengan dua peratus dan potongan ini bertujuan sebagai pengharga­an kepada isteri. Apa salahnya?,” katanya.

Pada 24 Mei lalu, Wan Azizah ketika melaporkan diri pada hari pertama di kementerian tersebut menjelaskan, kadar caruman KWSP untuk suri rumah yang dicadangkan melibatkan dua peratus gaji suami dan RM50 daripada dana kerajaan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kementerian akan mengkaji semula mengenai peruntukan Bantuan Orang Tua dan penjaga pesakit warga emas selaras dengan bajet negara.

Beliau turut menjelaskan, pra­sa­rana untuk warga emas ketika ini mencukupi tetapi masih perlu ditambah baik secara lebih menyeluruh.

“Pada masa ini kita mempunyai pesakit warga emas untuk nis­bah penjaga di rumah orang tua adalah sekitar 1:10, sedangkan sepatutnya adalah 1:4,” katanya.