Penegasan itu dibuat KWSP menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Korporatnya.

Kenyataan itu dipercayai ditujukan kepada laporan portal Sarawak Report yang baru-baru ini melaporkan kononnya berlaku pemindahan bon atau dana ahlinya kepada syarikat dan individu tertentu.

Menerusi kenyataan itu, KWSP memberi jaminan bahawa agensi itu mempunyai rangka kerja tadbir urus yang kukuh dan mantap bagi mencegah sebarang penipuan ke atas dana ahli-ahlinya.

“KWSP berpegang teguh kepada mandat kami untuk melindungi dan memelihara simpanan ahli.

“Memandangkan terdapat percubaan untuk merosakkan reputasi dan menimbulkan keraguan terhadap integriti KWSP dengan sengaja secara berturut-turut, kami akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak bertanggungjawab menerbitkan kenyataan berniat jahat ini,” kata kenyataan itu hari ini. - UTUSAN ONLINE