Perkara itu dinyatakan oleh Presiden KVUM, Tan Sri Khalid Yunus dalam perbincangan bersama Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak berhubung hala tuju serta aktiviti kelab yang dirancang.

Khalid yang juga bekas Timbalan Menteri Penerangan berkata, pelbagai program akan dianjurkan sekiranya kedua-dua kelab tersebut berganding bahu selain memberi fokus meneruskan perjuangan kaum Me­la­yu dalam konteks yang lebih besar.

“Jauh dari sudut hati saya memberitahu, Utusan Melayu mempunyai signifikan bukan sahaja kepada saya secara peribadi malah bangsa Melayu.

“Utusan Melayu merupakan lidah orang Melayu dan kerana itu saya mudah tersentuh apabila berbicara mengenai akhbar tersebut,” katanya ketika sesi pertemuan bersama Abdul Aziz dan pengurusan kanan Kumpulan Utusan di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Othman Mohamad; Penolong Ketua Pengarang, Datuk Mohd. Hassan Mohd. Noor; Pengarang Kanan Mega, Gamal Nasir Mohd. Ali; Timbalan Presiden KVUM, Roseminah Ahmad dan Yang Dipertua BKUM, Saifol Bakthiar Hamik.

Tambah Khalid, melalui keah­li­an lebih 100 bekas kakitangan Utusan Melayu, beliau yakin sebarang aktiviti dirancang akan menerima penyertaan yang baik.

Sementara itu, Abdul Aziz menyatakan komitmen untuk membantu KVUM dalam mereali­sasikan objektif utama penubuhan kelab tersebut.