Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Osman Muda berkata, daripada jumlah itu, zakat pendapatan menjadi penyumbang utama di mana pada tahun lalu sebanyak RM78 juta berjaya dikutip diikuti zakat perniagaan RM41 juta.

Menurut beliau, berdasarkan rekod, kutipan zakat pendapatan pada tahun 2015 ialah sebanyak RM126 juta, 2016 (RM133 juta) dan 2017 (RM137 juta).

Beliau meminta kesemua amil zakat yang dilantik agar lebih pro-aktif dalam memainkan peranan yang bukan hanya tertumpu kepada kutipan zakat fitrah sebaliknya turut melibatkan kutipan zakat lain zakat pendapatan dan zakat perniagaan.

"Selain itu kita juga berharap amil-amil dapat membantu kerajaan mencari maklumat terperinci mengenai golongan asnaf di peringkat akar umbi bagi memastikan setiap penerima pelbagai bantuan MAIDAM benar-benar layak sekali gus membantu kerajaan mengurangkan kadar kemiskinan di negeri ini.

"Kita sedang berusaha memberi pendedahan untuk memperkasakan tanggungjawab lebih besar kepada amil, selain kutip zakat mereka juga akan bertindak sebagai pencari maklumat melibatkan golongan asnaf," katanya.

Osman menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas merasmikan program Multaqa Amil Zakat Negeri Terengganu 2019 di Terengganu Equestrian Resort (TER), Kuala Ibai di sini semalam yang dihadiri lebih 1,000 amil zakat di Terengganu.

Yang turut hadir, Pegawai Eksekutif MAIDAM, Rodzi Bidin dan bekas Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Datuk Ismail Ali yang bertindak sebagai pembentang kertas kerja.

Dalam majlis itu, bekas pesara tentera iaitu Kapten (B) Tuan Abdullah @ Mohd. Zain Omar, 72, yang juga imam Masjid Taman Permint Jaya Chendering diumumkan sebagai pemenang Anugerah Perkhidmatan Amil Cemerlang sekali gus memenangi hadiah wang tunai RM1,000 disamping piala dan sijil. - UTUSAN ONLINE