Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, keyakinan agensi pembiayaan bagi pendidikan tinggi itu ber­asaskan tahap kesedaran yang semakin meluas dalam kalangan ibu bapa dan peminjam terhadap tanggungjawab masing-masing dan insentif ditawarkan.

“Untuk tahun ini, sebanyak RM3.4 bilion telah berjaya dikutip dan dijangka akan mencapai lebih RM4 bilion,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas meras­mikan program Ceria Kembali Ke Sekolah Parlimen Besut di Dewan Gong Kemuntong, dekat sini hari ini.

Dalam majlis yang turut dihadiri Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusof itu, seramai 400 murid menerima bantuan peralatan sekolah dan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

Sehingga kini, PTPTN telah mengeluarkan sejumlah RM51.55 bilion kemudahan pembiayaan pendidikan kepada kira-kira 2.8 juta pelajar di pelbagai institusi pendidikan tinggi seluruh negara.

Sementara itu, Wan Ahmad berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2018 yang menaikkan kadar diskaun da­ripada 15 peratus kepada 20 peratus telah berjaya menarik ramai pelajar untuk membuat bayaran balik.

Katanya, kira-kira 2,000 pe­minjam telah menyahut tawaran itu dalam tempoh singkat dan berharap lebih ramai akan mem­beri maklum balas.

Di samping itu, beliau menya­rankan ibu bapa mengambil peluang tawaran geran sepadan secara percuma yang dilipat gandakan dengan peruntukan sebanyak RM250 juta kepada 500,000 ibu bapa yang membuat simpanan awal SSPN.

“Ibu bapa yang membuat simpanan sebanyak RM500 akan diberi deposit percuma berjumlah RM500 lagi untuk membolehkan mereka membuat tabungan ke­pada pendidikan anak-anak di samping mendapat perlindungan insurans,” katanya.