Pengetahuan dan pemahaman mengenai umrah antara aspek penting yang perlu dititikberatkan agar tidak berlaku kesilapan atau kekeliruan melakukan ibadah itu ketika berada di sana kelak.

Justeru itu, dalam usaha membantu jemaah dan sebagai sebahagian daripada program amal, Juara Travel komited menganjurkan kursus intensif umrah secara bersiri dan terbuka kepada seluruh masyarakat tanpa sebarang bayaran.

Seperti mana pernah dijalankan di banyak negeri seluruh negara, Juara Travel turut meneruskan kesinambungan usaha itu dengan mengadakan kursus di Masjid Jamek Sungai Masin, Batang Kali, Selangor baru-baru ini.

Menurut Pengurus Juara Travel Cawangan Rawang, Mejar Mohd. Abdul Wahab Abdullah, inisiatif yang dilakukan Juara Travel merupakan sebahagian daripada usaha dakwah dan tanggungjawab sosial yang bertujuan menyampaikan maklumat penting berkaitan umrah kepada bakal jemaah.

“Pendedahan yang diberikan merangkumi dua aspek. Yang pertama, jemaah perlu mengetahui aspek pentadbiran bagi mengelakkan mereka terdedah dan menjadi mangsa kepada sindiket penipuan umrah yang kini semakin berleluasa,”katanya kepada S2.

Menurutnya, Malaysia dikatakan antara negara yang jemaahnya paling banyak menjadi mangsa sindiket.

“Kebanyakan mangsa tertipu disebabkan kejahilan dalam soal pentadbiran dari segi penentuan pakej bersesuaian dengan kos ditawarkan meliputi pengurusan, penerbangan, penginapan hotel, pengangkutan, makan minum dan sebagainya.

“Dengan adanya pendedahan diberikan melalui kursus ini, jemaah umrah akan lebih berwaspada dan bijak dalam membuat pertimbangan serta penilaian terhadap apa jua pakej umrah yang ditawarkan,” katanya.

Menurutnya, aspek kedua pula adalah bakal jemaah diberi pendedahan tentang pelaksanaan ibadah umrah dari segi rukun, wajib dan sunat.

“Objektif paling jelas dalam kursus ini adalah untuk melahirkan bakal jemaah umrah yang mempunyai keyakinan untuk beribadah secara bersendirian tanpa bergantung kepada mutawif.

“Menerusi kursus ini, bakal jemaah diharap dapat mendalami dan memahami pelaksanaan ibadah bagi mengelakkan kekeliruan, tidak tahu atau was-was mengenai sesuatu perkara terutama berkaitan hukum-hakam. Paling penting memastikan ibadah umrah dilaksanakan dalam keadaan sempurna dan sah.

“Sepanjang pengalaman membawa jemaah yang mempunyai keyakinan untuk beribadah secara sendiri, mereka tidak berdepan dengan sebarang masalah sama ada dari segi lokasi mahupun hukum-hakam ibadah umrah,”tambahnya.

Dalam pada itu, menurutnya, sebahagian besar cawangan Juara Travel di seluruh negara kerap mengadakan kursus umrah secara tetap di lokasi masing-masing. Ujarnya, ia bertujuan membantu masyarakat yang menghadapi kekangan waktu mendapatkan maklumat berkaitan umrah.

“Kursus ini diadakan di banyak tempat termasuk kawasan kampung, taman perumahan dan masjid di seluruh negara.

“Memandangkan sebahagian besar cawangan mengadakan kursus secara tetap, masyarakat setempat boleh memilih tarikh mengikut kelapangan waktu.

“Lagipun kursus ini terbuka kepada sesiapa sahaja sama ada jemaah yang hendak mengerjakan umrah dalam waktu terdekat atau sebaliknya, mahupun mereka yang mengikuti pakej umrah dari syarikat berlainan,” katanya.