Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kursus perkhidmatan rel kereta api berkelajuan tinggi dan teknologi pembuatan komposit aeroangkasa mula ditawarkan tahun lalu bagi memenuhi kehendak pasaran kerja semasa.

“Penawaran kursus adalah selaras dengan permintaan serta perkembangan semasa di negara ini yang disesuaikan dengan kebolehpasaran pekerjaan di sesuatu kawasan itu.

“Kursus pembaikan bot bakal dikembangkan lagi terutama di kawasan seperti Kuala Kedah berdasarkan keperluan industri di kawasan tersebut dan kita akan rangka lagi kursus yang dirasakan bersesuaian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan GiatMara Jerai di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah dan Pengerusi GiatMara, Datuk Azian Osman.

Bangunan GiatMara Jerai yang dibina dengan peruntukan sebanyak RM8.1 juta di atas tapak seluas dua hektar dengan menawarkan kursus-kursus seperti Pendawaian Elektrik, Teknologi Penyejukbekuan dan Penyaman Udara, Fesyen dan Jahitan serta Penyelenggaraan Industri.

Menurut Ismail Sabri, sehingga kini, sebanyak 667 kursus ditawarkan GiatMara di seluruh negara yang dikendalikan lebih 2,000 tenaga pengajar mahir.

“Apa yang lebih membanggakan, penawaran kursus baharu ini buat pertama kalinya membabitkan bekas-bekas pelajar tahfiz dari seluruh negara.

“Pelatih (pelajar tahfiz) ini bukan sahaja berkemahiran dalam ilmu agama malah bakal menguasai kemahiran dalam aeroangkasa,” katanya.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Ismail Sabri memberitahu, GiatMara yang ditubuhkan pada 1986 berjaya melahirkan seramai 394,828 pekerja berkemahiran dengan 85 peratus daripada mereka bekerja dalam sektor tertentu termasuk menjadi usahawan.

“Lebih membanggakan, kursus serta pelatih GiatMara turut mendapat pengiktirafan dari dalam dan luar negara menerusi pembabitan dalam pelbagai pertandingan membabitkan kemahiran,” katanya.