Menteri Pendidikan, Da­tuk Seri Mahdzir Khalid berkata, langkah tersebut selaras dengan janji Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

“Kurikulum sekolah ren­dah dan menengah perlu disemak bagi mengim­bangi set ilmu pengetahuan dan kemahiran seperti pemi­kiran kreatif, inovasi, penyelesaian masalah dan kepemimpinan.

“Kurikulum ini memberi penekanan kepada pe­ngajaran berpusatkan mu­rid dan pengajaran yang dibezakan di samping turut memberi lebih penekanan kepada penyelesaian ma­salah, tugasan berasaskan projek, memperkemas ma­ta pelajaran atau tema, dan melaksanakan pentaksiran formatif,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam portal tokdet.my bertajuk Menerajui Perubahan: Imbasan 2016, Melangkah Ke 2017 yang dimuat naik hari ini.

Selaras dengan usaha tersebut, jelas Mahdzir, kementerian telah pun merombak peperiksaan ke­­­bangsaan dan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) untuk meningkatkan secara berperingkat pera­tusan soalan yang mentaksir kemahiran berfikir aras tinggi.

Katanya, murid yang memerlukan bimbingan tambahan telah dan akan terus mendapat akses kepada bantuan yang bersesuaian dengan keperluan bagi menjamin kejayaan mereka di sekolah.

Menurut beliau, guru berkualiti dan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di sekolah-sekolah bagi memastikan murid di seluruh negara dibangunkan secara holistik selaras Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

“Pendidikan adalah milik dan tanggungjawab bersama justeru, marilah kita berusaha memastikan matlamat untuk meletakkan negara kita antara sepertiga teratas dalam kalangan negara yang mempunyai sistem pendidikan terbaik dunia melalui pentaksiran antara bangsa selepas 2025 nanti menjadi kenyataan.

“Saya amat berharap supaya kita sebagai rakyat Malaysia, dapat bersama-sama dalam menyediakan persekitaran yang selesa demi menyediakan pendidikan berkualiti untuk anak-anak generasi masa akan datang,” katanya.

Beliau juga berharap tahun 2017 bakal mencatatkan kecemerlangan dan kegemilangan dalam pendidikan negara demi membangunkan generasi bangsa Malaysia yang bakal membawa negara ke mercu kejayaan.