Beliau berkata generasi muda luar bandar bermigrasi ke bandar dalam usaha mencari pekerjaan dan kehidupan lebih baik, namun amat menyedihkan apabila ada dalam kalangan mereka yang terhimpit dengan kos sara hidup seterusnya menjadi golongan miskin bandar.

“Kita tidak boleh salahkan mereka kerana mereka mahu mencari kehidupan yang lebih baik, apa yang perlu kita lakukan ialah wujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan peluang meningkatkan sosio-ekonomi di kawasan luar bandar.

“Akhirnya ini dapat mewujudkan kawasan luar bandar mampan yang mampu membantu seluruh masyarakat,” katanya ketika berucap merasmikan Program 1,000 Seri dan Penyerahan Pek Sumbangan “Jom Kembali Ke Sekolah” di sini, malam ini.

Turut hadir Exco Industri, Perdagangan dan Pelaburan Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Rina berkata buat permulaan, beliau dan kementeriannya mahu memastikan setiap rakyat Malaysia yang tinggal di kawasan luar bandar menikmati kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air dan jalan raya.

“Saya tidak mahu bercakap tentang bina bangunan bertingkat di kawasan luar bandar selagi masih ada masyarakat luar bandar tidak menikmati kemudahan asas.

“Kita sudah adakan kajian dan buat pelan pembangunan luar bandar, jadi kita kini fokus untuk bantu masyarakat luar bandar,” katanya.- BERNAMA