Timbalan Menterinya, Datuk Ab. Aziz Kaprawi berkata, jumlah pengurangan kadar berkenaan te­­lah ditetapkan di peringkat an­tarabangsa merangkumi beberapa negara dan Malaysia termasuk dalam kalangan negara tersebut.

Katanya, kementerian serius ke arah mencapai sasaran itu melihat kepada statistik kemalangan jalan raya termasuk kemalangan maut di negara ini yang masih berada pada tahap membimbangkan.

“Sebagai contoh pada 2016, ja­­lan raya Malaysia telah meragut nyawa sebanyak 7,152 nyawa melibatkan 521,466 jumlah kemalangan dan secara puratanya sebanyak 19 pengguna jalan raya terkorban setiap hari.

“Sehubungan itu, kementerian berikrar dan kini giat melaksanakan pelbagai usaha menuju ke arah itu dengan kerjasama pelbagai pihak berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pejabat baharu Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Melaka di Menara Persekutuan, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah JKJR, Datuk Arifin Che Mat; Pengarah JKJR Melaka, K.B. Shanthini dan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Mohd. Fadhil Hassan.

Ab. Aziz berkata, antara usaha yang dilaksanakan termasuk strategi keselamatan jalan raya di peringkat tempatan dengan kerjasama JKJR negeri bagi mengurangkan kemalangan serta kematian di jalan raya.

“Pelan intervensi ini adalah strategi baharu kementerian yang memberi fokus kepada pendekatan menangani isu keselamatan jalan raya di peringkat tempatan melalui jalinan bersama pihak berkuasa, komuniti setempat dan agensi kerajaan lain.

“Dengan pendekatan ini, ia dapat memberi lebih fokus bagi menyelesaikan isu setempat berkaitan kemalangan jalan raya seterusnya mencapai sasaran outcome yang dipersetujui bersama,” ujarnya.