Menurut Pengurus Bahagian Harta Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Indera Shahril Mohd. Shahid, jika dibiarkan berterusan dikhuatiri semakin banyak harta umat Islam menjadi beku.

“Melihat kepada situasi sekarang, masih ramai umat Islam yang tidak merancang harta lebih awal terutama ketika masih hidup.

“Hanya selepas berlaku kematian barulah dibincangkan mengenai pengagihan harta,” katanya.

Sikap mengambil mudah dan menangguh-menangguhkan permohonan pembahagian harta pusaka membuatkan permasalahan bertambah rumit pada kemudian hari.

Sebab itu banyak kes pergaduhan dan pertelingkahan berlaku di kalangan ahli keluarga sehingga menyebabkan putusnya tali persaudaraan hanya kerana harta pusaka.

Katanya, masalah ini berlaku disebabkan tahap kesedaran umat Islam masih terlalu rendah.

“Ramai yang bersikap sambil lewa, tidak sensitif dan begitu ‘berani’ menduduki harta yang tidak dikenal pasti statusnya.

“Apa yang dibimbangi, ketika harta yang digunakan atau diduduki tanpa disedari rupa-rupanya bahagian yang sepatutnya diperoleh itu hanya sedikit.

“Sebahagiannya mungkin milik orang lain atau anak-anak yatim. Justeru kita perlu peka terhadap status harta digunakan,” katanya.

Kegagalan atau kelewatan pengurusan pusaka juga berlaku disebabkan waris-waris tidak tahu bagaimana melakukan pembahagian harta termasuk membuat tuntutan.

“Hal ini berlaku kerana masyarakat kurang diberi pendedahan mengenai proses serta kepentingan pengurusan harta.

“Persoalan agama berkaitan solat, wuduk, bersuci, perkahwinan dan jenayah lebih banyak dibicarakan sementara bab pengurusan harta kurang disentuh,” katanya.

Menurutnya, prosedur yang rumit dan menyukarkan juga menjadi faktor mengapa tiada kecenderungan umat Islam membuat perancangan harta dengan lebih awal dan teliti.

“Ramai yang tidak sanggup menguruskan harta kerana prosesnya melibatkan banyak agensi seperti mahkamah syariah, mahkamah sivil, jabatan tanah dan galian, Amanah Rakyat Berhad, baitulmal dan sebagainya.

“Bahkan mereka merasakan terlalu banyak prosedur yang panjang perlu diikuti.

“Justeru, kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan. Paling penting undang-undang pembahagian harta perlu dimurnikan bagi memudahkan masyarakat,” katanya.

Umat Islam dinasihatkan supaya merancang harta dengan bijak bagi memudahkan waris atau mereka yang menikmati harta tersebut tanpa sebarang kekusutan.

Dengan adanya perancangan yang teliti maka tidak wujud lagi sebarang perbalahan dan rasa tidak puas hati di kalangan ahli keluarga.

Dalam pada itu, perkembangan zaman menyaksikan semakin banyak agensi berkaitan pengurusan harta ditubuhkan di negara ini

Di MAIS sendiri turut menyediakan perkhidmatan baitulmal yang membantu menguruskan harta pusaka, wasiat dan hibah.