Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. V. Renuganth berkata, pandangan serta buah fikiran pakar-pakar berkaitan amat diperlukan bagi mengatasi kelompongan dan isu yang terlepas pandang sejak Kongres Budaya pertama diadakan lebih 40 tahun lalu.

“Ada antara strategi dan isu yang dibincangkan dalam kongres itu yang tidak dijalankan dan ini menyebabkan adanya kelompongan kerana sudah terlalu lama. Saya yakin banyak isu yang kita terlepas pandang sebelum ini.

“Apa yang penting, resolusi yang akan dibentang dalam Kongres Budaya 2017 bulan depan dapat membawa tindakan susulan bagi mengatasi masalah berkaitan isu warisan budaya yang dibangkitkan,” katanya ketika berucap merasmikan Wacana Prakongres Budaya 2017 bertemakan Warisan Seni Rupa Bangsa di UPM di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Wacana Prakongres Budaya 2017 yang juga Pengarah Muzium Warisan Melayu UPM, Dr. Muhammad Pauzi Abdul Latif berkata, warisan yang semakin dilupakan perlu dipulihara supaya tidak terus hilang ditelan zaman.

Katanya, senibina tradisional dan manuskrip Melayu adalah isu besar yang perlu dibincangkan bagi memperoleh jalan penyelesaian yang terbaik dalam usaha memulihara kedua-duanya.

“Bagi saya dua isu ini besar kerana senibina tradisional kini semakin tidak dipedulikan dan dilupakan. Sekarang kita juga perlu gerakkan usaha bagi mengesan semula manuskrip Melayu di negara ini.

“Kerajaan perlu buat sesuatu kerana kita bimbang perkara ini semakin dilupakan. Hari ini kita mahu menghasilkan resolusi bagi membantu kerajaan mencari jalan supaya usaha pemuliharaan dan mengesan semula manuskrip yang telah hilang digerakkan dengan cepat,” katanya.