TAJUDDIN ABDUL RAHMAN
TAJUDDIN ABDUL RAHMAN

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, Kuok perlu sedar kekayaan yang dimilikinya ketika ini adalah hasil daripada dasar dan pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN), bukannya DAP.

“Ini masalah apabila sudah kaya, lupa daratan. Sedangkan dia kaya hasil daripada dasar kerajaan BN. Dia bukan jadi kaya raya hasil dasar-dasar pemerintahan DAP.

“Ini dia kena ingat, jangan macam kacang lupakan kulit, jangan tidak sedar diri. Kita bagi amaran kepada dia, jika betullah dakwaan itu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Jom Bertani Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manik di Pejabat Pertanian Chenderong Balai dekat sini, semalam.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin dan Pengarah Pertanian negeri, Norazmi Yahya.

Semalam Kuok dilaporkan mempunyai agenda untuk menggantikan pemerintahan kerajaan sedia ada dengan kerajaan DAP bagi memboleh­kan kaum Cina menjadi pemerintah di negara ini.

Penganalisis politik, Raja Petra Kamarudin mendakwa, bagi merealisasikan impian tersebut, Kuok dikatakan amat menginginkan gelombang perubahan dalam kalangan orang Melayu.

ROBERT KUOK
ROBERT KUOK

Dakwa Raja Petra lagi, apabila Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilancarkan pada 1970, Kuok dikatakan secara terbuka menyatakan pendiriannya iaitu tidak menyukai langkah tersebut kepada pemimpin UMNO seperti yang dilaporkan akhbar berbahasa Inggeris di Singapura, The Straits Times pada 4 Disember 2017.

Tajuddin berkata, dasar kerajaan BN telah memberi seluas-luasnya peluang pada Kuok sehingga berjaya memonopoli import gula dan tepung di negara ini.

“Dia dapat kekayaan itu di sini dan selepas itu baru pergi ke China, Hong Kong," katanya.