Beliau yang diiringi isteri, Datin Seri Hamidah Khamis: Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot dan pegawai kanan kerajaan dijangka tiba di Dhaka 10.30 pagi esok.

Dalam lawatan kerja pertama ke negara ini sejak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 2015, Ahmad Zahid dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina.

Beliau turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan Menteri Kebajikan Pegawai Dagang dan Pekerja Luar Negara Bangladesh, Nurul Islam dan Menteri Luar Bangladesh, Abul Hassan Mahmood Ali,

Pada pukul 8.45 pagi Isnin, Timbalan Perdana Menteri dijangka tiba di sini untuk melawat kem Kutupalong sebelum berlepas balik ke tanah air pada pukul 3 petang.

Wisma Putra dalam satu ke­nyataan semalam berkata, Malaysia yakin lawatan itu akan mempereratkan hubungan kerjasama dua hala negara dengan Bangladesh dan isu serantau serta antarabangsa.

Kem Kutupalong di Ukhia yang bakal dilawati Timbalan Perdana Menteri merupakan salah satu daripada dua kem yang diuruskan kerajaan Bangladesh selain kem Nayapara.

Pada Julai lalu, kedua-dua kem berkenaan menempatkan kira-kira 30,000 pelarian namun pada September, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan jumlahnya meningkat secara mendadak kepada 77,000 pelarian. – mingguan

Awal bulan ini, pihak berkuasa Bangladesh mengumumkan perancangan pembesaran kem pelarian Kutupalong.

Pada bulan lepas, sebanyak 790 hektar tanah lapang di sebelah kem sedia ada di Kutupalong disediakan untuk penempatan pelarian namun memandangkan jumlahnya meningkat dengan mendada, kerajaan Bangladesh menyediakan tambahan 400 hektar tanah lagi. - UTUSAN